Breaking News

Saya Tidak Hadir Mesyuarat PIBG Kerana...

Oleh: Johardy Ibrahim (MERREPAK)
14 Januari 2018 12:00 PM


DENGAN ini saya mengaku tergolong dalam kelompok ibu bapa yang jarang menghadirkan diri ke mesyuarat persatuan ibu bapa dan guru (PIBG). Bukan tidak pernah langsung, ada beberapa kali juga.

Ketika itu, PIBG sekolah anak dipengerusi oleh idola dari zaman remaja, Nash Lefthanded. Sengih panjang bila Nash yang disapa oleh sahabat, terus duduk bersama kami. Ibu bapa yang segenerasi tahu kenapa saya sengih. Ibu bapa generasi muda, mungkin menyangka saya tengah melobi Nash untuk lantik saya jadi bendahari PIBG.

Selepas kesemua anaknya tiada lagi belajar di sekolah itu, Nash pun melepaskan jawatannya. Dan itulah juga kali terakhir saya menghadiri mesyuarat PIBG.

Hal PIBG ini rupa-rupanya, sentiasa menjadi bahan perbahasan dalam kalangan ibu bapa dan guru, terutama menjelang musim baharu persekolahan.

Boleh diperhatikan, terdapat dua kelompok ibu bapa, pertama, mereka yang aktif dalam PIBG dan kedua, mereka yang tidak aktif. Ikut cerita rakan, kalangan guru pun terbelah kepada kategori serupa. Bolehkah guru tidak aktif dalam PIBG? Boleh. Tiap kali mesyuarat PIBG, guru itu sama ada pergi berkursus atau sibuk dengan aktiviti ko-kurikulum.

Perbahasan ini menjadi panjang lebar. Bersimpang siur penghujahan. Panjang betul Merrepak. Bermula dengan isu yuran persekolahan yang telah ditiadakan oleh kerajaan, melalut hingga kenapa PIBG pula kenakan sumbangan tahunan sebanyak RM50?

Saya, walaupun tidak aktif, bab yuran ini saya sedaya-upaya jaga. Ini kerana tanpa kehadiran jasad sekali pun semasa mesyuarat, sumbangan yang dibayar itu boleh membantu menggerakkan apa saja program yang diluluskan.

Jadi bila ada kalangan ibu bapa yang membantah dan mempersoalkan kewajaran PIBG mengenakan sumbangan tahunan (atas dakwaan membebankan), sikap sebegini benar-benar mengecewakan. Inilah mentaliti orang kita yang dahagakan subsidi sepanjang hayat dan sindrom maha kedekut tak bertempat. Yuran PIBG adalah untuk program anak-anak kita juga, bukan menjadikan guru besar atau pengerusi kaya.

Seorang sahabat ketika ditanya punca keengganan dia menyertai PIBG dengan selamba mengatakan bahawa wujud 'puak’ yang tidak menerima saranan orang yang bukan kumpulan mereka dalam PIBG dan menentukan pelaksanaan program mengikut kehendak kumpulan mereka.

Beliau memberi contoh, program pertukaran pelajar ke luar negara. Puak ini awal-awal sudah memborong slot anak masing-masing sebelum mengumumkan program. Jadi ramai ibu bapa hairan anak mereka tidak terpilih.

Program seumpamanya juga, tidak adil kepada ibu bapa yang tidak berkemampuan. Jika mahu adil, ia hendaklah ditawarkan kepada semua pelajar. Bagi pelajar miskin, PIBG hendaklah menyediakan suatu bentuk insentif bantuan agar pelajar itu dapat sama-sama menimba pengalaman menerusi program pertukaran pelajar.

Termenung juga saya bila mendengarnya. Soal wujud puak-puak dalam PIBG tidak saya tahu. Secara logiknya, sesebuah organisasi akan memilih kalangan mereka yang diketahui komited dan senang bekerja bersama.

Bukan yang kaki ponteng dan merungut sentiasa.

Bertugas dalam PIBG ini tiada gaji. Betul-betul kerana anak. Jadi soal ini, mungkin orang di luar AJK akan melabel 'puak’ tetapi orang dalam AJK tahu mereka adalah sehati sejiwa menjayakan program PIBG.

Seorang sahabat yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) PIBG sekolah, mengirimkan saya satu esei bertajuk '10 Fakta Sedih mengenai PIBG’. Khabarnya, esei ini sudah tersebar meluas di Facebook. Terima kasih kepada penulis asalnya dan esei ini saya perturunkan semula di sini:

1 Mesyuarat Agung PIBG tiada sambutan. Ramai guru berbanding ibu bapa yang hadir.

2 Ahli yang tidak hadir mesyuarat paling banyak mempersoalkan keputusan PIBG yang ditetapkan pada hari mesyuarat. Ini paling menjengkelkan.

3 Tidak ramai yang bayar sumbangan PIBG semata-mata ia tidak wajib. "Anak aku tak bayar pun, semua program sekolah dia boleh masuk’’.

4 Semua kemudahan yang PIBG sediakan seperti kipas, dewan, apa jua yang dibeli guna dana PIBG, anak aku tetap boleh guna seperti murid lain. Buat apa aku bayar?

5 Hal ini disebarkan pula supaya kawan-kawan dia dan ibu bapa lain turut serta tidak bayar sumbangan PIBG.

6 Belum pernah seumur hidup didengar, 100 peratus ibu bapa membayar yuran PIBG. Ada sekolah hanya 30 peratus sahaja ibu bapa yang bayar.

7 Duit sumbangan RM100 untuk setiap murid, 90-100 peratus ibu bapa datang ambil. Tiada alasan bekerja, sakit dan sebagainya. Tiba hari mesyuarat PIBG, berjuta alasan sampai.

8 Guru dan AJK PIBG difitnah makan duit PIBG. Duit PIBG kalau nak keluar waima RM1 mesti ada tanda tangan Bendahari dan Pengerusi PIBG. Dan semua duit yang masuk-keluar diaudit dan dibentangkan dalam mesyuarat agung PIBG.

9 AJK PIBG dan guru bertungkus lumus kumpul dana untuk tabung PIBG. Turun naik syarikat dan kedai cari penaja. Buat jualan dan sebagainya. Bila ada dana dan baik pulih sekolah atau buat program untuk murid, ibu bapa yang tidak bayar sumbangan itu paling banyak mempertikai. Itu tak kena ini tak kena.

10 Ibu bapa yang miskin lebih ramai yang bayar sumbangan PIBG. Yang hanya punya motor buruk, yang hanya kerja buruh. Yang kerja dalam pejabat dilengkapi penyaman udara dan datang dengan kereta menjalar, itu yang paling liat nak bayar.

Menurut esei itu lagi, lihatlah bagaimana ibu bapa di sekolah jenis kebangsaan Cina. Hampir semuanya ada dewan tertutup atau dewan terbuka berbumbung untuk aktiviti luar bilik darjah. Semuanya dibuat menerusi dana PIBG. Pendidikan Jasmani masih boleh dijalankan walau hari hujan atau panas terik.

Tetapi kebanyakan dana PIBG sekolah kebangsaan, nak tukar meja murid yang reput pun tak lepas! Kenapa? Atas sebab hendak bayar RM50 setahun sumbangan kepada PIBG pun susah hendak dilakukan.

Pada saya, ada dua perkara yang tidak wajar sama sekali disensasikan iaitu pertama, rumah ibadat dan kedua, sekolah. Kalau dibiarkan sensasi rumah ibadat, porak-poranda negara. Kalau dibiarkan sensasi sekolah, jatuh mundur anak bangsa. - Utusan Online.


No comments

terima kasih atas maklum balas yang anda berikan...