Breaking News

Bantu Anak Cepat Bercakap

OLEH: ROSMAWATI MION
17 Januari 2019 4:00 PM

RAMAI ibu bapa mula khuatir apabila anak mereka lambat bercakap berbanding dengan kanak-kanak seusia mereka.

Ibu bapa mula bimbang kemungkinan berlaku sesuatu pada sistem tumbesaran anak sehingga menyebabkan proses tersebut tidak berlaku mengikut waktu sepatutnya.

Menurut Pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Prof. Madya Dr. Bustam Kamri, ibu bapa tidak perlu berasa bimbang kerana setiap anak kecil mempunyai keupayaan yang berbeza dalam kemahiran berbahasa dan ucapan.

Bagaimanapun katanya, cepat atau lambat kebolehan bercakap banyak dipengaruhi persekitaran termasuk peranan ibu bapa.

“Kanak-kanak normal boleh mengeluarkan perkataan seawal usia lapan bulan hingga setahun setengah.

“Lazimnya, bayi mula mengeluarkan perkataan pertama dengan pengulangan suku kata seperti ma, pa dan ba dalam proses babbling sehingga penghujung usia setahun.

“Ketika ini, ibu bapa harus memberi perhatian kerana mereka perlu membantu mengajar si kecil melengkapkan perkataan tersebut tanpa mengharapkan bayi mengulangi perkataan yang sama. Ibu bapa perlu berkomunikasi dengan bayi mereka dalam usaha merangsang kanak-kanak bercakap.

“Ini kerana seawal usia 10 hingga 12 bulan, bayi biasanya sudah boleh mengungkapkan perkataan mama, baba, umi dan sebagainya, dalam dua patah perkataan,” katanya.

Dr. Bustam berkata, perkembangan tersebut akan meningkat perlahan-lahan sehingga mereka berusia 18 bulan yang mana percantuman perkataan mula dituturkan. Mereka sudah mula menggunakan dua perkataan sebagai ayat. Dianggarkan kanak-kanak pada usia itu mempunyai 50 perkataan sebagai perbendaharaan kata.

Jelasnya, apabila menjengah usia 36 bulan, kira-kira 1,000 perkataan sepatutnya sudah boleh difahami. Kanak-kanak menggunakan dua patah perkataan sebagai ayat dengan memberi penekanan kepada perkataan yang ingin ditumpukan seperti ‘Nak lagi’ atau ‘Saya punya’.

“Ibu bapa perlu proaktif mengambil inisiatif untuk merangsang kebijaksanaan bayi menerusi komunikasi dan tingkah laku.

“Sekiranya ibu bapa membetulkan percakapan mereka, anak-anak akan lebih cepat bercakap,” katanya.

Dr. Bustam berkata, proses menggalakkan kanak-kanak cepat bercakap boleh dilakukan sejak bayi. Sebabnya, bayi sebenarnya telah mendorong atau mengajak orang dewasa untuk berkomunikasi dengan mereka, tetapi adakalanya tidak dilayan.

Beliau berkata, amalan yang bersesuaian untuk berinteraksi dengan bayi sebaik-baiknya berdepan dengan bayi, wajah ke wajah. Suara hendaklah mesra dan menggunakan bahasa yang mudah dan mata sentiasa menatap wajah bayi.

Katanya, pada peringkat ini, bayi lebih tertarik kepada bahasa berlagu dan ibu bapa boleh bercakap dengan mereka secara berlagu walaupun ketika bermain. Tidak kisah jika anda perlu mencipta lagu sendiri.

Sementara itu, katanya, jika ingin membeli buku, perlu diingat bahawa tidak semua buku sesuai untuk bayi mahupun kanak-kanak tatih iaitu yang berusia 18 bulan dan sudah mula menendang, menolak, memaut serta menghentak tangan dan kaki.

Beliau berkata, buku yang sesuai adalah yang terdapat pengulangan dan boleh dijangka atau diramal, berirama, mempunyai ilustrasi mudah, kanak-kanak mudah mengenal pasti objek berwarna, haiwan dan mainan.

“Sambil membaca, ibu bapa tunjukkan objek yang dibaca kepada anak mereka. Ini penting dalam usaha mempercepatkan kanak-kanak bercakap.

“Ibu bapa juga perlu rajin melayan anak-anak bercakap bagi membantu menambah perbendaharaan kata.

“Apabila si kecil hendak bercakap atau bercerita, jangan disuruh diam kerana ini akan mengganggu mereka, sedangkan kita sepatutnya menggalakkan kemahiran berbahasa sambil bercerita.

“Sebaiknya layan anak-anak dan luangkan sedikit masa untuk mereka walaupun si kecil banyak bertanya. Sebabnya, kemahiran berbahasa tidak akan berkembang jika ibu bapa lebih sibuk melihat gajet atau televisyen daripada melayan anak-anak,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, ibu bapa juga perlu bersabar ketika mendengar kanak-kanak bercakap. Sesetengah ibu bapa risau apabila anaknya bercakap terhenti-henti atau gagap.

Jelasnya, apabila ibu bapa menyuruh anak memberi perhatian semasa bercakap dan menaruh harapan tinggi untuk membetulkan percakapannya membuatkan kanak-kanak berasa tegang dan memburukkan keadaan.

“Memang semula jadi kelakuan kanak-kanak semasa mula bercakap akan terhenti sebentar, menarik nafas dan mengulangi. Mereka cuba mencari perkataan yang betul dan ini akan mengambil masa.

“Pertuturan adalah satu proses yang kompleks tentang menyampai dan menerima. Oleh itu, ibu bapa perlu mendengar dengan sabar.

“Lebih-lebih lagi, anak-anak berusia tiga hingga empat tahun akan banyak bertanya,” katanya.

Dr. Bustam berkata, sekiranya tiada reaksi jika dipanggil dan kurang berinteraksi dengan kanak-kanak lain, kemungkinan si kecil itu mempunyai masalah pertuturan.

“Deria pendengaran penting dalam proses perkembangan pertuturan kanak-kanak. Jika wujud sebarang keraguan adalah mustahak untuk kanak-kanak itu diperiksa oleh pakar,” katanya. - UTUSAN Online

No comments

terima kasih atas maklum balas yang anda berikan...